25 March 2008

UMNO Mula Nak Dengar Pandangan Rakyat

Peti Cadangan Rakyat dilancar - UtusanOnline
Oleh SUNARTI KIBAT


BATU PAHAT 24 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Simpang Renggam melancarkan Peti Cadangan Rakyat untuk membolehkan orang ramai memberikan pandangan dalam memperbaiki dan meningkatkan lagi perkhidmatan parti tersebut.
Ketuanya, Zakaria Dollah berkata, peti cadangan itu akan diletakkan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di bank-bank di kawasan Felda Layang-Layang, Felda Ayer Hitam, Jalan Layang-Layang, Jalan Benut dan Machap.
Beliau berkata, ia adalah sebagai menyahut seruan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar tidak menuding jari kepada mana-mana pihak ekoran pencapaian terburuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

“Usaha itu telah mendapat persetujuan Pemuda UMNO Negeri dan ia merupakan langkah awal bagi mengembalikan kepercayaan dan memenangi hati rakyat kepada parti.

“Sebelum ini, mungkin ada rakyat yang tidak berkesempatan mencurahkan masalah mereka dan dengan cara ini diharapkan akan wujud pandangan positif, membina dan telus antara dua pihak iaitu rakyat dan kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Peti Cadangan Rakyat dan Meraikan Petugas dan Jentera Pilihan Raya Ke-12 UMNO Bahagian Simpang Renggam di sini malam semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hamid Abd. Rahman dan Timbalannya, Onn Md. Yassin.

Zakaria berkata, peti cadangan itu akan dilaksanakan sepanjang masa dan cadangan-cadangan tersebut akan dikumpul sekali seminggu untuk diteliti.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada tujuh anggota diketuai beliau sendiri akan memperhalusi setiap cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli parti dan rakyat bagi tindakan selanjutnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zakaria meminta Kementerian Belia dan Sukan agar memberi tumpuan kepada pembangunan belia dengan menyediakan lebih banyak prasarana yang diperlukan golongan itu.

Katanya, kelengkapan sukan seperti gelanggang futsal harus disediakan kepada golongan itu agar mereka mempunyai aktiviti yang berguna dan terhindar daripada kegiatan-kegiatan tidak baik.

“Golongan ini jangan diabaikan kerana mereka bakal menjadi pewaris kepada kepimpinan negara pada masa depan,” katanya.

Selain itu, Zakaria memberitahu, pergerakan itu kini sedang mengadakan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan usaha mendaftarkan golongan muda yang layak mengundi.

No comments:

Sociable