18 March 2008

Pas Johor terima sokongan Cina, India

BATU PAHAT 17 Mac – Penerimaan masyarakat India dan Cina terhadap Pas merupakan faktor penting yang telah membantu kejayaan dua calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 di negeri ini pada 8 Mac lalu.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, kejayaan Pas menumpaskan calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan Sungai Abong menunjukkan parti itu kini semakin diterima oleh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Beliau turut menyifatkan kejayaan itu sebagai kemenangan 'anak jantan' bukan seperti kemenangan akibat masalah teknikal pada calon lawan di DUN Senggarang pada Pilihan Raya Umum Ke-11 .

"Ia merupakan perkembangan yang baik dan Pas bukan lagi parti yang ditakuti oleh orang bukan Islam terutama kaum Cina dan India khususnya di Johor yang sekian lama menjadi kubu kuat UMNO dan BN,'' katanya

Beliau berkata demikian kepada para pemberita ketika ditemui di majlis meraikan dua calon Pas yang menang pada pilihan raya umum di sini baru-baru ini.

Dua wakil rakyat Pas itu ialah Dr. Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh yang berjaya menewaskan calon BN, Kamaruddin Suratman di DUN Sungai Abong dan Dr. Mohammad Taslim yang menewaskan calon BN, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah di DUN Maharani.

Dr. Mahfodz berkata, cubaan Pas Johor mencalonkan wanita bukan Islam daripada Lujnah Perpaduan Nasional (LPN) yang diwakili peguam, R. Kumutha, 29, yang juga ahli Kelab Penyokong Pas turut berjaya menarik sokongan pengundi bukan Islam.

Katanya, Kumutha yang bertanding di DUN Tiram berjaya memperoleh 8,827 undi sementara penyandang kerusi DUN itu, Datuk Maulizan Bujang daripada BN mendapat 17,005 undi.

Sumber Utusan Malaysia Online 18hb Mac 2008: http://www.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=PilihanRaya2008&y=2008&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_10.htm

No comments:

Sociable