24 October 2008

Kunjungan Hormat dan Penyerahan Memorandum


MEMORANDUM KEPADA

EN.HAMIDUN B. HJ. A.JALIL
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Johor
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
Dan Hal Ehwal Pengguna,Aras 17 & 17A,
Menara Ansar
Jalan Trus
80000 Johor Bharu,JOHOR DARUL TAKZIM.
PEJABAT AM : 07-2272828, 07-2262017NO. FAX : 07-2235252


TUNTUTAN KAMI

PEMANTAUAN LEBIH TEGAS TERHADAP KENAIKAN HARGA BARANGAN YANG MELAMPAU

OLEH

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR
Bangunan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17 Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,
86200 Simpang Renggam
Johor Darul Takzim

Tel: 07-7554693 Fax: 07-7555198
e-mail:
dppjohor@yahoo.com
Laman Blog: http://www.dppnjohor.blogspot.com/

PADA

23 Oktober 2008
23 Syawal 1429
1.0 MUKADDIMAH

Apabila kerajaan Malaysia mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen yang menyebabkan kenaikan daripada RM 1.92 kepada RM 2.70 (kenaikan 41 peratus) dan harga diesel sebanyak RM 1 menjadi RM 2.58 (kenaikan 63.3 peratus) pada 4 Jun 2008 para pengguna sudah membayangkan bagaimana kesan yang akan ditanggung selepas daripada kenaikan tersebut.

Walaupun kerajaan menyebut bahawa kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion pada tahun 2008 namun ia sudah pasti menjadi bebanan kepada pengguna.

Lonjakan harga barangan sudah tidak dapat dikawal lagi dengan peningkatan mendadak harga runcit barangan kawalan seperti ikan, daging dan sayur-sayuran yang dijual di pasar. Sepert imana yang dipaparkan di dada akhbar, peningkatan harga barangan sudah semakin tidak terkawal.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengambil serius dengan pelbagai aduan berkaitan dengan kenaikan harga barang keperluan harian yang semakin mendadak sejak akhir-akhir ini.

Walaupun kerajaan telahpun menurunkan sebanyak tiga kali harga petrol/diesel selepas kenaikan mendadak pada bulan Jun 2008 namun harga barangan tidak beransur turun malah ada yang semakin meningkat naik.

Masalah ini cukup serius sehinggakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa mengingatkan para peniaga supaya menurunkan harga barang berikutan penurunan harga minyak yang telah berlaku sebanyak tiga kali pada tahun ini kerana peniaga diingatkan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang secara sukarela tanpa perlu menunggu kerajaan bertindak.

2.0 KENAPA HARGA TERUS MENINGKAT?

Memang benar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan panduan harga runcit (rujuk lampiran) untuk memudahkan kepada para peniaga dan pengguna untuk mengetahui harga terkini pasaran sesuatu barangan kawalan tetapi sejauh mana ia berjaya dipatuhi oleh para peniaga?

Sebagai contohnya, ayam bersih (berkepala, baki, hati dan hempedal) mengikut harga kawalannya adalah RM 6.50 bagi setiap kilogram di Johor Bahru sedangkan harga yang dijual adalah melebihi daripada harga kawalan tersebut.

Sudah pasti, pengguna akan menyatakan bahawa para peniaga tidak mengendahkan harga runcit yang dikawal ini. Namun, apakah benar peniaga sengaja dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan untuk mencari keuntungan lebih atau kerana peniaga terpaksa melakukan sedemikian rupa?

Peniaga pula akan menuding jari kepada pembekal yang lebih awal memaklumkan bahawa harga barangan terpaksa dinaikkan kerana kos harga bahan bakar telah dinaikkan termasuklah petrol/diesel.

Tetapi apa yang pasti, penggunalah yang akan menjadi mangsa kepada masalah ini.

3.0 CADANGAN

DPPNJ telah memerhatikan perkara ini dan telah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pelbagai pihak bagaimana untuk menangani masalah harga jualan yang semakin tidak terkawal ini. Beberapa cadangan dikemukakan kepada KPDNHEP untuk membantu mengatasi masalah ini.

3.1 Mencari punca kenaikan harga barangan di pasaran

3.1.1 Apabila harga barangan di pasaran naik selepas kenaikan harga minyak, maka sudah tentu ia akan berpunca daripada kos yang ditanggung oleh pembekal.
3.1.2 Maka sudah tentu perkara yang utama yang perlu diberikan perhatian oleh KPDNHEP adalah para pembekal bukannya para peniaga kerana harga jualan sudah pasti akan dinaikkan bergantung kepada harga yang diterimanya.

3.2 Memberikan tumpuan lebih hebat kepada langkah-langkah penguatkuasaan

3.2.1 DPPNJ percaya langkah penguatkuasaan telah dijalankan tetapi masih lagi belum cukup untuk membenteras masalah kenaikan harga barangan.
3.2.2 Langkah penyamaran juga dapat membantu menyelesaikan masalah peniaga yang masih belum mahu menurunkan harga jualan. Kaedah penyamaran ini jika dilakukan dengan teratur, kemas dan terancang diyakini akan lebih berjaya menyelesaikan banyak isu-isu kepenggunaan termasuk kenaikan harga tambang perkhidmatan awam, harga barangan, penipuan alat timbangan dan banyak lagi.

3.3 Penguatkuasaan dibuat apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak tetapi tidak ada penguatkuasaan apabila harga minyak diturunkan.

3.3.1 Sebelum ini, apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol/diesel, kerahan terhadap unit penguatkuasa untuk memantau harga barangan di pasaran. Namun, apabila harga minyak diturunkan tiada arahan pemantauan dibuat kepada penguatkuasa.
3.3.2 DPPNJ melihat bahawa ia menjadi punca kenapa harga barangan kawalan masih lagi tidak diturunkan sejak penurunan harga minyak sebanyak tiga kali.

3.4 Wujudkan mekanisme turun harga barang

3.4.1 Mekanisme untuk menurunkan harga barang mesti dirangka selaras dengan penurunan harga minyak terutamanya harga barangan kawalan.
3.4.2 DPPNJ melihat bahawa kerajaan boleh berbincang soal kenaikan harga barangan dan kos pengangkutan seiring dengan kenaikan harga minyak bersama para pengilang serta pengusaha, maka adalah perlu perbincangan yang sama dilakukan bagi mencari mekanisme terbaik menurunkan semula harga barangan dan perkhidmatan tersebut.

3.5 Mewujudkan skuad pemantau sukarelawan

3.5.1 Ada juga kemungkinan KPDNHEP berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga untuk membuat pemantauan terhadap harga barangan di pasaran.
3.5.2 DPPNJ mencadangkan agar skuad pemantau sukarelawan ditubuhkan bagi membantu meringankan bebanan tugas ini.
3.5.3 DPPNJ menawarkan khidmat Unit Amal yang mempunyai anggota di seluruh negeri Johor untuk terlibat di dalam skuad pemantau ini.

4.0 PENUTUP

DPPNJ mengucapkan syabas kepada Menteri PDNHEP, Datuk Shahrir Abdul Samad kerana dalam kenyataannya semalam bahawa kerajaan akan mengumumkan penurunan beberapa harga barang keperluan pengguna yang bukan di bawah kawalan kerajaan Jumaat ini.

Beliau akan mengumumkan penurunan barangan keperluan pengguna yang melibatkan harga beberapa barangan keluaran sebuah syarikat pengeluar dan pengilang yang mempunyai pasaran dunia yang agak besar. Namun, bukan sekadar pengumuman sahaja yang perlu dilakukan tetapi perlaksanaan dan pemantauannya adalah lebih mustahak dilaksanakan.

DPPNJ juga berharap agar KPDNHEP dapat menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan ini dalam masa terdekat.

Sekian terima kasih.


Yang Benar,


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://www.minda-kembara.com/
019-7701830

No comments:

Sociable