13 August 2008

Jurang antara Raja & Pas Semakin Rapat

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah sekali lagi memperkenankan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat menyampaikan Khutbah Jumaat di Ipoh 15 Ogos ini.

Perkenan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Raja Nazrin ketika Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadap tuanku pagi tadi dan telah disahkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Anuar Hasim ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Difahamkan setakat ini Masjid Negeri di Bandaraya Ipoh merupakan masjid yang dipilih untuk kedua-dua tokoh pemimpin PAS yang tidak asing lagi untuk menyampaikan khutbah.

"Kemungkinan salah seorang menjadi imam manakala seorang lagi membaca khutbah atau kedua-dua membaca khutbah di dua masjid berbeza, kita akan maklumkan kepada umum nanti.

"Saya akan memaklumkan kepada media dari masa ke semasa, lokasi masjid kedua-dua pemimpin PAS yang akan menyampaikan khutbah Jumaat ini," kata Anuar dan yakin akan menarik perhatian orang ramai khususnya penduduk Perak untuk hadir ke masjid terbabit untuk mendengar khutbah tersebut.

Dalam pada itu, Raja Nazrin Shah juga memperkenankan menerima mengadap pimpinan PAS pada 14 Ogos sehari sebelum berlangsung Muktamar PAS ke-54.

Perkara itu telah disahkan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dan menyatakan pertemuan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar itu akan membabitkan 10 pemimpin tertinggi PAS yang akan diketuai sendiri oleh Usatz Hadi sendiri.

No comments:

Sociable