10 June 2006

AGIHAN TABUNG KEMISKINAN HARAKAH PERLU TELUS

Agihan Tabung Kemiskinan Harakah perlu telus (Utusan Malaysia)

ALOR STAR 7 Jun - Pimpinan Pas diminta bersikap telus terhadap pengurusan Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) yang setakat ini dikatakan mengeluarkan bantuan sebanyak RM2.2 juta.
Wakil Pas Johor, Khairul Haizi Ahmad Kamil berkata, ahli parti itu mahu penjelasan cara agihan tabung berkenaan sama ada dibuat mengikut keadaan yang mewajarkannya atau kerana kepentingan pihak tertentu.
‘‘Persoalannya, bagaimana agihan itu dilakukan dan apakah kriteria agihan itu,” katanya dalam perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-52 di Kompleks Pas Kedah, dekat sini hari ini.
Menurutnya, pimpinan Pas juga perlu menjelaskan sama ada agihan wang tabung itu dibuat kerana Lembaga Pengarah Harakah berada di kawasan-kawasan terlibat atau mempunyai kepentingan dengan penerima bantuan.
Beliau turut meminta pimpinan Pas memastikan bantuan TKH memberi impak yang menguntungkan parti tersebut terutama daripada sokongan politik.
‘‘Kalau penerima bantuan itu orang UMNO apakah dia terus menjadi ahli UMNO, kalau Pas apakah dia akan terus bersama Pas dan bagaimana pula dengan penerima bantuan yang merupakan orang atas pagar,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Haizi juga mencadangkan agar Pas menubuhkan Jabatan Kebajikan Rakyat supaya urusan berkaitan kebajikan orang ramai dapat diberikan keutamaan oleh parti itu.

No comments: