02 June 2006

DISNEYLAND MALAYSIA : KE ARAH MANA UMNO/BN HENDAK MEMBAWA RAKYAT MALAYSIA?

Posted by Picasa

Kenyataan Media
(2 Jun 2006)

Memang tidak dijangka dalam kemelut masalah gejala sosial, hiburan terlampau dan masalah penagihan dadah khususnya yang melibatkan belia pada hari ini, kerajaan Malaysia berhasrat pula untuk membina sebuah taman tema Disneyland di Johor.

The STAR online pada 30 Mei 2006 telah menyiarkan bahawa Malaysia sedang mengadakan perbincangan terperinci dengan pengendali Tokyo Disneyland bagi pembinaan taman tema berkenaan di Johor.

Jika pembinaan di bandar baru Nusajaya yang seluas 9,645 hektar yang terletak di Pembangunan Koridor Selatan tersebut direalisasikan, bermakna Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai taman tema itu (Malaysia Boleh!). Turut dilaporkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan kawasan seluas 960 hektar dengan cadangan pelaburan sebanyak RM2 bilion dan dijangka mampu menyediakan 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

Pada hari yang Bernama.Com sebagai contohnya melaporkan bahawa kerajaan kini mencari pilihan terbaik serta meninjau peluang-peluang untuk membina taman tema seperti "Disneyland" di Johor. Ianya disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi.

Perkara ini telah disahkan pada hari yang sama (Bernama.Com) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan pertemuan dengan kumpulan yang berminat melabur dalam projek taman tema Disneyland di Johor. Beliau menyatakan bahawa perbincangan secara terpeinci dengan pihak Disney masih belum dilaksanakan tetapi ada kumpulan yang menunjukkan minat untuk membawa Disneyland ke Malaysia.

Namun pada 31 Mei 2006, Datuk Seri Effendi Norwawi hari Rabu menafikan pula bahawa kerajaan akan membawa Disneyland ke Malaysia walaupun Perdana Menteri Malaysia telah memperakuinya.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula dilihat menyokong pembinaan Disneyland ini di Johor dengan menjangkakan bahawa tidak menolak kemungkinan taman tema Disneyland yang dilaporkan dicadangkan pembinaannya di Nusajaya akan berkonsepkan tropika, berbeza dengan taman tema Disneyland di Florida dan Hong Kong. (Utusan Malaysia, 1 Jun 1006)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) berpendapat bahawa pembinaan Disneyland di Malaysia sebenarnya akan mencambahkan lagi kesuburan aktiviti hiburan di Malaysia yang sekarang ini semakin tidak terkawal. Kita jangan lupa bahawa program hiburan yang keterlaluan adalah strategi yang digunakan musuh dengan menghidangkan hiburan sebanyak-banyaknya khususnya kepada golongan muda yang masih mencari hala tuju kehidupan mereka.

Apabila sudah terleka, mudah untuk mereka lupa pada ajaran dan peraturan agama. Allah S.W.T telah mengingatkan kita bahawa kehidupan dunia ini penuh dengan tipu daya.

Firman Allah ;

“Kehidupan dunia ini hanyalah main-main dan berseronok dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa, tidakkah kamu memahami hal ini?”
Al-An’am:32

FirmanNya lagi ;

“Sesungguhnya kehidupan dunia hanya permainan dan gurau senda, jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepada kamu dan tidak akan meminta hartamu.”
Muhammad: 36

Prof Diraja Engku Aziz juga pernah menyuarakan kebimbangannya terhadap generasi muda yang tidak lagi berminat untuk menimba ilmu pengetahuan, minda mereka semakin lesu dan tidak bermaya untuk berfikir tetapi lebih terpesona dengan hiburan.

Agak pelik rasanya, semakin kuat hasrat kerajaan UMNO/BN untuk melaksanakan Islam Hadhari semakin bercelaru halatuju negara. Kerajaan sanggup menggadaikan masa depan anak-anak muda dan agama Islam semata-mata untuk membuka ruang pekerjaan kepada 20 ribu rakyat Malaysia.

Sekiranya kerajaan masih berterusan dengan hasrat ini maka semakin jauh umat Islam daripada agama.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: