20 June 2006

KAMPUNG MENGKIBOL - KLUANG

Posted by Picasa
Jambatan yang sedang dibina di kawasan kampung Mengkibol
Sangat memalukan apabila mengetahui bahawa masih terdapat perkampungan yang terletak berhampiran dengan sebuah bandar masih lagi tidak mendapat bekalan air bersih. Saya telah mengadakan lawatan kerja ke Kampung Mengkibol, Batu 4 Jalan Renggam, Kluang Johor setelah terbaca mengenai keadaan kampong tersebut di dalam akhbar KOSMO! Pada 19 jun 2006.

Kampung ini bukannya terletak di kawasan pedalaman tetapi terletak betul-betul disebelah jalan besar yang menghubungkan bandar Kluang dan bandar Renggam. Jaraknya hanya lebih kurang 6 kilometer sahaja dari bandar Kluang.

Difahamkan, penduduk yang telah lama menetap disitu mendakwa bahawa mereka telah menggunakan air perigi selama 37 tahun dan sehingga kini permintaan untuk mendapatkan air bersih melalui saluran air paip masih belum berjaya,

Ketika membuat lawatan ke kampung tersebut pada 19 Jun 2006, saya sempat bertemu dengan ketua Kampung Mengkibol iaitu Encik Ali Bin Othman. Beliau mendakwa bahawa penduduk kampung telah membuat banyak aduan demi aduan telah dibuat kepada pelbagai pihak termasuklah Pegawai Daerah Kluang, UMNO Bahagian Kluang, Ahli Parlimen Kluang, ADUN Mengkibol, dan Syarikat Air Johor (SAJ) tetapi masih belum ada apa-apa hasil yang diperolehi.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) berkata, setiap kali menjelang pilihanraya Umum, pelbagai janji ditaburkan kepada penduduk tetapi segalanya dilupakan selepas pilihanraya selesai. Pada tahun 2005 pernah diadakan satu perjumpaan dengan Pegawai Daerah Kluang dan ADUN Mengkibol tetapi sehingga ke hari ini masih tidak membuahkan hasil.

Kami juga dimaklumkan bahawa alasan yang diberikan kepada penduduk punca proses untuk membekalkan air bersih melalui bekalan air paip agak susah untuk dibuat kerana masalah untuk menyambungkan paip di dalam kampong tersebut kerana tiada tanah rezab untuk kerja-kerja tersebut.

Sekarang ini selain terpaksa bergantung kepada air perigi sebagai air minuman, penduduk juga mendapat bekalan air bersih daripada SAJ melalui penghantaran 2 hari sekali kepada penduduk kampong melalui lori bekalan air.

Saya juga telah diberitahu bahawa ketika ini sedang dijalankan satu projek pembinaan jambatan di dalam kampong tersebut. Penduduk kampung ada yang berpendapat bahawa sebenarnya pembinaan jambatan tersebut memang diperlukan tetapi yang lebih utama dan mendesak adalah bekalan air bersih.

Saya akan berusaha untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada beberapa pihak mengenai perkara ini terutamanya daripada SAJ dan Pejabat Daerah Kluang dalam masa terdekat ini untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat PAS Kawasan Kluang
19 Jun 2006

No comments: