27 June 2006

PAS MAMPU UNTUK MEMIMPIN PERPADUAN

Kenyataan Media
(27 Jun 2006)

TAJUK :

PAS MAMPU UNTUK MEMIMPIN PERPADUAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong penuh kenyataan Media Presiden PAS Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berkaitan dengan isu yang sekarang ini melibatkan pertembungan Tun Dr Mahathir (TDM) – Pak Lah.

Kenyataan ini membuktikan keterbukaan PAS dalam menangani setiap isu yang berlaku. Kenyataan ini juga menjawab pelbagai kritikan dan tohmahan terhadap PAS berkaitan dengan isu pertembungan TDM – Pak Lah.

Kenyataan Dato’ Seri Presiden PAS bahawa pergolakan di antara TDM – Pak Lah ini berpotensi mengancam ketenteraman awam dengan implikasi serta impak yang buruk terhadap ekonomi negara membayangkan betapa PAS melihat isu yang sedang berlaku ini bukannya isu parti politik tetapi melibatkan kepentingan semua pihak. DPPNJ cukup bimbang krisis dan pergolakan dalaman UMNO ini akan dilihat oleh masyarakat dunia sebagai masalah negara.

Kebimbangan ini dijelmakan dengan pengistiharan ‘perang’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz terhadap TDM semalam. Kerajaan telah dibabitkan secara langsung dalam pergolakan ini.

DPPNJ melihat bahawa kenyataan Dato’ Seri terhadap kesediaan PAS untuk melakukan 'enggagement' politik dengan mana-mana pihak memperjelaskan sikap PAS yang bersedia untuk bersama-sama dalam usaha menyelesaikan masalah khususnya yang melibatkan perbincangan hal-hal yang mempunyai kepentingan negara dan rakyat

Krisis yang berlaku ini sebenarnya membuka ruang kepada PAS untuk membuktikan bahawa PAS adalah parti yang mampu diberi kepertanggungjawaban untuk memimpin perpaduan dalam negara, bukannya parti pemecah belah masyarakat seperti mana yang dilabelkan oleh pemimpin UMNO.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: