13 June 2006

BALING BATU : APAKAH KENYATAAN PRESIDEN PAS MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA?

Kenyataan Media
(13 Jun 2006)


Bagaikan menanti peluang terbuka, Presiden PAS ketika ini telah diserang dengan bertubi-tubi sejurus selepas berakhirnya Muktamar PAS yang diadakan di Kompleks PAS Kedah baru-baru ini. Semuanya gara-gara membenarkan ahli PAS mengadakan dan mengikuti demonstrasi atau himpunan aman yang dianjurkan oleh PAS.

Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang dalam kenyataannya menyebut bahawa PAS akan terus mengadakan demonstrasi jalanan sebagai saluran untuk menyuarakan pendapat. Persoalan membaling batu sebagai satu contoh yang dibayangkan kepada umum bukanlah satu perkara yang serius untuk dilakukan. Selama ini pun, demonstrasi yang dianjurkan oleh PAS berlansung secara aman tanpa menyebabkan kecederaan atau kematian namun himpunan aman ini akan menjadi kelam-kabut dan kacau-bilau apabila mula diganggu oleh pihak keselamatan.

Setiap kali penyokong PAS disepak, dipukul, diterajang dan dipijak, adakah mereka akan bertindak balas?. Lihatlah berapa banyak darah yang mengalir menyimbah bumi baru-baru ini apabila rakyat yang tidak berdosa dipukul dalam himpunan aman anjuran PROTES.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) sangat kesal dengan kenyataan yang disiarkan di dalam Berita Harian pada 11 Jun 2006 bertajuk “Hadi Ancam keselamatan” yang menyebut bahawa kenyataan Presiden PAS mengancam keselamatan dan ekonomi negara sehingga ada yang mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuklah menahan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

DPPNJ tidak menyokong tindakan membaling batu tetapi kalaulah kenyataan seperti ini pun hendak disumbat ke dalam ISA yang zalim itu, maka sememangnya demokrasi di dalam negara kita telah berjaya dihancurkan oleh UMNO/BN. Sesiapa sahaja yang menentang ataupun tidak bersetuju dengan UMNO/BN sumbat sahaja ke dalam ISA.

Namun begitu, DPPNJ melihat bahawa kenyataan Presiden PAS semasa kenyataan media bersama pemberita selepas selesai muktamar PAS baru-baru ini adalah merupakan satu strategi untuk mewujudkan perbincangan soal demokrasi di Malaysia sejajar dengan tema ucapan dasar “PULIHKAN DEMOKRASI, DAULATKAN ISLAM”. Andaikata isu melontar batu ini tidak disebut maka rakyat tidak sedar bahawa sememangnya demokrasi di Malaysia telah dirosakkan oleh UMNO.

Setidak-tidaknya rakyat Malaysia menyedari bahawa PAS sanggup untuk menghadapi risiko untuk kebenaran dan hak rakyat.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: