03 February 2009

APAKAH MAKSUD UCAPAN DYMM SULTAN PERAK INI?

03 Februari, 2009 21:13 PM

Sistem Beraja Boleh Runtuh Jika Tidak Ditadbir Dengan Bijak

KUALA KANGSAR, 3 Feb (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bertitah bahawa sistem beraja boleh runtuh jika ia tidak diurus tadbir secara bijaksana dan adil.

"Takhta boleh beralih dari istana ke muzium sejarah jika ia tidak diurus tadbir secara bijaksana dan adil. Sejarah menunjukkan bahawa kejatuhan sistem beraja bukanlah kerana sistem itu tidak baik, tetapi kerana berlakunya perilaku salah.

"Persengketaan sesama sendiri dan juga berpunca daripada Raja salah disembah nasihat oleh barisan pembesar dan pegawai istana yang memiliki kepentingan peribadi untuk menghimpun kekayaan atau mendapat pengaruh," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Mengadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Khas Darjah Kebesaran Jubli Perak di Istana Iskandariah di sini.

Sultan Azlan bertitah di zaman silam, takhta merupakan institusi "satu dalam semua dan semua dalam satu" dan Raja yang memerintah memenuhi peranan penggubal undang-undang dan menggubal undang-undang atas budi bicara baginda, iaitu menyamai peranan sebuah Parlimen.

"Takhta juga memilki kuasa eksekutif dan raja memiliki kuasa pemutus. Kadangkala baginda menwakilkan kuasa tersebut kepada Bendahara, kadangkala baginda sendiri menjalankan tugas pemerintahan, lalu timbul istilah kerajaan berasalkan konsep Raja yang bekerja," titah baginda.

Sultan Perak bertitah takhta juga berperanan sebagai badan pengadilan perkara-perkara untuk mendapat pengadilan di mana ianya dibicarakan di hadapan Raja di dalam istana dengan Raja menjadi hakim dan memberi kata putus.

"Ketiga-tiga tugas yang amat berat itu tidak dapat dilaksanakan secara bijaksana, adil, seimbang dan berkesan jika diletakkan sepenuh tanggungjawab di bahu seorang Raja.

"Lalu berlaku proses evolusi berkerajaan. Di negara ini tercapai formula berkerajaan dan bernegara melalui konsep perkongsian kuasa antara institusi istana dan institusi rakyat melalui Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen," titah baginda.

Sultan Perak bertitah kerajaan pilihan rakyat itu didukung oleh tiga tunggak yang dikenali sebagai badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, untuk saling menyemak dan melengkapi demi memastikan tidak berlakunya salah guna kuasa dan demi menjamin kepentingan rakyat sentiasa dilindungi.

"Takhta kekal sebagai simbol perpaduan, sebagai tunggak keadilan, sebagai tempat memohon belas kasihan dan pengampunan," titah baginda dan menambah, Sistem Raja Berperlembagaan adalah satu sistem yang baik bagi menjamin kehormatan rakyat kepada takhta kerajaan.

"Dalam Islam takhta turut diberikan pengiktirafan menyamai seorang Khalifah. Perlembagaan Negara mengiktiraf setiap takhta sebagai Ketua Agama Islam." titah baginda.

Sultan Azlan Shah bertitah berikutan itu pada setiap Jumaat, berjuta jemaah menadah tangan mengaminkan doa ketika khatib membaca khutbah supaya takhta dikurniakan dengan taufik dan hidayah untuk terus kekal memimpin negara, menurut keredaan Ilahi.

"Sayugia Beta mengingatkan bahawa doa ini akan terus dibaca dan terus diaminkan, selagi takhta dipandang mulia, selagi takhta memperlihatkan pemerintahan yang adil lagi saksama.

"Selagi takhta tidak melakukan kezaliman atau penganiayaan kepada rakyat," titah baginda.

-- BERNAMA

No comments:

Sociable