26 January 2006

Memorandum kepada Mufti Negeri Johor


Memorandum kepada Mufti Negeri Johor telah diserahkan oleh Dewan Pemuda PAS Johor pada 18 Januari 2006.

Memorandum telah diserahkan kepada Jabatan Mufti Johor dan diterima sendiri oleh Datuk Nooh Bin Gadut.

Alhamdulillah respon daripada pihak Jabatan Mufti sangat baik. Perbincangan telah diadakan selama lebih kurang dua jam.

Turut hadir di dalam pertemuan tersebut adalah Timbalan Mufti Johor, Datuk Tahrir Bin Samsudin, Sdr Aminuddin Ayub (Timbalan Ketua DPPNJ), Sdr Suhaizan (Naib Ketua DPPNJ) dan beberapa orang exco DPPNJ.
Berikut adalah memorandum yang telah diserahkan :
MEMORANDUM KEPADA
DATO’ HAJI NOOH BIN GADOT
MUFTI KERAJAAN NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM

RABU 18HB JANUARI 2006

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Kerajaan Negeri Johor, YB Zainal Abidin Osman telah membentangkan laporan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 8 Disember 2005 mengenai gejala jenayah di kalangan pelajar negeri ini yang semakin parah seperti;

a. Kes pergaduhan 17 pelajar (10 Melayu dan 7 Cina) yang berlaku di Tangkak pada 11 dan 12 Mei 2005,

b. Seramai 8 orang pelajar SMK Senai terlibat dengan kongsi gelap dan pergaduhan pada 24 Jun 2005.

c. Harian Metro Edisi Selatan pada 5 Julai 2005 telah mendedahkan isu yang berkaitan dengan kejadian rogol yang bertajuk “Habuan nafsu kekasih”. Berita ini yang disiarkan dengan maklumat yang diperolehi melalui Bahagian Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, yang menyatakan semakin ramai golongan remaja perempuan terutama gadis bawah umur tempatan didapati menjadi mangsa kerakusan nafsu mahupun terlanjur bersama kekasih. Mengikut maklumat ini, sejak awal tahun 2000, lebih 80 peratus kes rogol yang difailkan membabitkan remaja perempuan yang menjadi habuan seks teman lelaki sendiri dan lebih membimbangkan lagi, hampir 70 peratus atau majoriti daripada mangsa rogol berkenaan terdiri daripada remaja bawah umur iaitu 16 tahun ke bawah.

Pada malam sambutan Tahun Baru 2006, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor(DPPNJ) telah mengadakan XPDC Dakwah di Danga Bay dan Jalan Susur Tun Razak, Johor Bahru. Terdapat aktiviti yang bertentangan dengan syariat dan budaya bangsa negara ini seperti ;

1. Terdapat sekumpulan anak muda Melayu yang meminum arak di premis terbuka bernama Titi Caca Bistro & Bar, Danga Bay sekitar jam 2 – 3 pagi. Pelayan permis ini pula terdiri daripada pemuda Melayu.

2. Terdapat sekitar 30 orang pondan yang berpakaian seksi sedang mencari pelanggan di belakang kedai Jalan Susur Tun Razak sekitar jam 3 – 4 pagi.

3. Terdapat anak-anak muda Melayu dan warga Indonesia berpelukan serta berkucupan di khalayak ramai sekitar jam 2 – 4 pagi di kawasan gelap, kaki lima kedai dan di kerusi rehat sepanjang lorong pejalan kaki Danga Bay.

4. Terdapat ramai remaja sekolah (bawah umur) yang berada di kawasan rehat Danga Bay sambil berhibur, berpasangan dan menghisap rokok sekitar jam 2 – 4 pagi.

5. Terdapat ramai remaja perempuan Melayu dan warga Indonesia yang berpakaian seksi dan menjolok mata.

Aktiviti tidak bermoral ini berlaku tanpa kawalan dan tegahan daripada mana-mana pihak. Menurut Mingguan Malaysia pada 9 Oktober 2005 yang mendedahkan bahawa kerajaan Negeri Johor sedang menghadapi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 di seluruh negeri disebabkan bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta.

Berdasarkan kepada firman Allah S.W.T dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 yang bermaksud :

“ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’aruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Maka Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mendesak pihak berkuasa agama Negeri Johor melaksanakan tuntutan berikut :

1. Membuat pemantauan dan bertindak terhadap sebarang kemungkaran yang berlaku khususnya selepas sesuatu sambutan/ perayaan dilangsungkan.

2. Menambah bilangan pegawai penguatkuasa untuk membenteras sebarang maksiat sesuai dengan nisbah bilangan rakyat di negeri Johor.

3. Memberi kuasa atau mengiktiraf pihak ketiga untuk turut sama membantu membenteras sebarang gejala maksiat contohnya seperti Polis yang mempunyai RakanCorp dan BADAR yang merupakan satu badan anti maksiat bertanggungjawab terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) satu masa dahulu.

4. Membuat kempen kesedaran tentang kemurkaan Allah S.W.T terhadap budaya maksiat khususnya dikalangan remaja.

5. Merangka dan melaksanakan aktiviti riadah dan dakwah dikalangan generasi muda bersama dengan agensi kerajaan, swasta, parti-parti politik, persatuan dan NGOS.

6. Pegawai Agama Negeri tidak hanya tertumpu kepada aktiviti berceramah dan berkuliah di masjid dan surau sahaja tetapi perlu turun padang bertindak terhadap budaya maksiat yang semakin tidak boleh di kawal lagi di negeri ini.

Yang Benar

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
KETUA DEWAN PEMUDA PAS JOHOR

s.k : - Menteri Besar Johor.

No comments:

Sociable