07 January 2006

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR MEMBANTAH EDARAN KONDOM PERCUMA SECARA TERBUKA

KENYATAAN MEDIA
(6 Januari 2006)


Utusan Malaysia hari ini melaporkan berita mengenai aktiviti Pergerakan Belia Malaysia (YMM) yang akan mengedarkan 300,000 paket kondom percuma kepada orang ramai bagi menyokong usaha kerajaan mengurangkan kadar jangkitan HIV/AIDS di negara ini.

Langkah itu dikatakan sebahagian daripada aktiviti Kempen Kesedaran HIV/AIDS Bergerak Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh pertubuhan itu di 20 lokasi seluruh negara selama 13 minggu. Presidennya, Ng Chin Long berkata, kajian menunjukkan 80 peratus daripada penghidap HIV di negara ini merupakan golongan belia berusia 15 hingga 40 tahun dari pelbagai keturunan.

Menurut Ng Chin Long, masyarakat Cina pula merupakan golongan terbesar menerima jangkitan HIV melalui hubungan seks iaitu sebanyak 40 peratus manakala 80 peratus penghidap HIV daripada kaum Melayu menerima jangkitan tersebut daripada perkongsian jarum suntikan. Kempen seumpamanya telah diadakan di Pontian, Johor pada 25 Disember lalu dan kempen berikutan akan diadakan di Jalan Petaling pada 8 Januari 2006.

Difahamkan bahawa kondom-kondom ini diberikan secara percuma kepada golongan dewasa dengan aktiviti seks yang tinggi sahaja akan menerima kondom tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) percaya langkah yang dilakukan oleh YMM ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menyahut seruan kerajaan yang sebelum ini beriya-iya untuk menggagihkan kondom dan jarum percuma kepada penagih dadah.

Pada 6 Jun 2005, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek telah mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan sedang menimbang untuk memberikan jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah mulai Oktober depan bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Dikatakan bahawa Sehingga September 2004, sejumlah 61,486 jangkitan HIV dilaporkan di negara ini, termasuk 8,955 kes AIDS yang melibatkan 7,083 kematian dengan 75 peratus atau 46,292 penagih dadah dijangkiti HIV akibat menggunakan jarum suntikan.

Pada 2 September 2005, kerajaan menangguhkan cadangan memberi jarum suntikan dan kondom percuma bagi mengawal penularan HIV/AIDS, tetapi meneruskan program pemberian dadah metadone percuma sebagai kaedah rawatan perubatan kepada penagih tegar mulai bulan Oktober 2005. Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), di sini hari ini.

Difahamkan penangguhan pemberian jarum suntikan dan kondom percuma itu bagi membolehkan perbincangan lanjut diadakan kerana para ulama belum bersetuju dan mengambil pendekatan `tunggu dan lihat' walaupun menerima penjelasan kerajaan mengenai cadangan pelaksanaannya.

Namun pada 4 September 2005, Datuk Dr. Chua Soi Lek pula mengumumkan bahawa program perintis pertukaran jarum suntikan dan pemberian kondom percuma kepada penagih dadah bagi mengawal penyebaran HIV/AIDS akan bermula Januari 2006, bertentangan dengan keputusan yang diumumkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah. Beliau berkata, program yang sepatutnya bermula Oktober ini terpaksa ditangguhkan bagi merangka garis panduan yang lebih teratur dan berkesan, baik dari segi latihan petugas atau pengendalian. Bagaimanapun, katanya, program perintis pemberian dadah metadon percuma dijalankan sebagaimana dirancangkan iaitu bulan depan sebagai kaedah rawatan perubatan kepada penagih tegar.

DPPNJ ingin menjelaskan bahawa DPPNJ menolak tindakan YMM ini kerana DPPNJ yakin bahawa perkara asas yang perlu ditekankan kerajaan untuk mengurangkan jangkitan HIV/ Aids yang paling baik adalah dengan menerapkan penghayatan cara hidup Islam yang sempurna.

DPPNJ juga ingin mengingatkan bahawa sehingga kini, masih belum ada kata putus yang dibuat oleh kerajaan terhadap isu kondom dan jarum percuma. Namun tindakan yang dilakukan oleh YMM yang akan mengedarkan 300,000 paket kondom percuma kepada orang ramai perlu diambil perhatian oleh semua pihak. Tindakan mengedarkan kondom secara percuma kepada masyarakat terbuka dilihat sebagai menggalakkan hubungan perzinaan atau seks bebas.

DPPNJ mempersoalkan apakah YMM mengambil kira bahawa penerima kondom percuma ini adalah mereka yang sudah berkahwin khususnya di kalangan umat Islam?. YMM perlu sensitif dalam perkara ini kerana DPPNJ bimbang mungkin matlamat asal YMM adalah untuk mengurangkan kadar jangkitan HIV/AIDS di negara ini tetapi akhirnya kadar masalah sosial pula yang akan meningkat.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: