19 January 2006

PENOLAKAN PENUBUHAN SKUAD SUKARELAWAN MAIWP MEMBUKTIKAN KERAJAAN TIDAK SERIUS UNTUK MEMBENTERAS MAKSIAT DAN GEJALA SOSIAL

KENYATAAN MEDIA
(19 Januari 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Kabinet semalam yang menolak penubuhan Skuad Sukarelawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baru dilancarkan.

Keputusan itu diambil selepas jemaah menteri berpendapat undang-undang sedia ada dan pemantauan pasukan penguat kuasa jabatan agama serta agensi lain sudah mencukupi menangani masalah moral rakyat dan isu keselamatan lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan yang sama diambil berhubung penubuhan Pasukan Gerak Khas 4B atau Unit Khas Mat Skodeng di Melaka, tahun lalu.

Beliau juga menyebut bahawa kabinet tidak bersetuju dengan perbuatan mengintip dan kita tidak mahu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan perkara sama. Tindakan itu boleh dianggap mencabuli hak asasi manusia.

Skuad Sukarelawan ditubuhkan kononnya untuk membantu mangsa bencana alam tetapi di Putrajaya tidak berlaku bencana alam.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Agama Wilayah (Jawi) Che Mat Che Ali dilaporkan berkata, skuad yang ditubuhkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ini hanya ada dua objektif, iaitu mengadakan kempen dan kegiatan bagi mengelakkan remaja terbabit dengan gejala sosial seperti dadah serta membantu mangsa bencana alam. Skuad itu walaupun tidak diberi kuasa menahan mereka yang disyaki melakukan kesalahan atau maksiat, akan membantu penguatkuasa Jawi yang ditugaskan meronda serta memberi risikan.

DPPNJ menegaskan bahawa keputusan kabinet ini memperlihatkan betapa tidak seriusnya kerajaan untuk menyelesaikan masalah sosial yang sedang tenat melanda negara ketika ini. Pelik rasanya bila seorang yang bertaraf Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh menyatakan bahawa undang-undang ketika ini sudah cukup untuk mengatasi masalah moral rakyat.

Apakah kerajaan tidak tahu bahawa perangkaan polis yang mendedahkan bahawa setiap hari terdapat 15 orang remaja berumur 14 hingga 21 tahun dilaporkan hilang. Dalam tempoh 24 bulan (Jualai 2003 ~ Jun 2005) seramai 12,118 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang yang majoritinya di kalangan anak-anak melayu. Mereka lari kerana pujukan kekasih, pengaruh rakan sebaya, perbalahan keluarga atau mencari pekerjaan. Dari jumlah itu, 7256 sudah ditemui dan baki 4,592 masih hilang.

Bagaimana pula dengan kegilaan terhadap Black Metal yang sekarang ini cukup membimbangkan kita. Seperti yang dilaporkan di dada akhbar, selepas cubaan mengadakan pesta liar di Langkawi digagalkan pihak berkuasa, sebahagian peminat muzik Black Metal mengadakan konsert sempena sambutan tahun baru di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pad a31 Disember 2005. Di dalam serbuan itu seramai 380 pengunjung di tahan dalam pesta muzik itu.

Apakah kerajaan juga tidak sedar bahawa kejadian rogol semakin menjadi-jadi? Ini dibuktikan dengan jawapan Setiausaha Parlimen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) kepada Senator Ustaz Hassan Shukri di Dewan Negara 10 Jun 2005 yang lalu. Menurut statistik KKDN, sejak tahun 2001 hingga April 2004, 1668 kes rogol melibatkan kenalan, 1141 melibatkan teman lelaki dan 747 melibatkan orang tidak dikenali. Semua statistik ini menjelaskan lagi bahawa kerajaan Islam Hadhari Malaysia tidak mahu mengambil bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan unsur-unsur yang boleh membawa kebinasaan dihentikan.

Pada 23 September 2005 pula, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Risikan Operasi Bukit Aman, Asisten Komisioner Abdul Halim Abdullah berkata mendedahkan bahawa seramai 672 gadis bawah umur dilaporkan menjadi mangsa rogol sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun 2005. Daripada jumlah itu, 491 gadis berusia di bawah 15 tahun manakala selebihnya 16 hingga 17 tahun. Bagi kes melibatkan mereka berusia lebih 18 tahun pula, seramai 358 orang dikesan menjadi mangsa rogol. Jumlah keseluruhan gadis menjadi mangsa rogol antara Januari hingga Julai tahun ini ialah 1,030 orang.

Jelas, bahawa sebenarnya penolakan skuad ini sebenarnya membuktikan bahawa mereka tidak serius untuk menyelamatkan ummah khususnya yang sedang melanda remaja melayu/Islam ketika ini.
Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: