08 January 2006

DPPNJ menyokong tindakan kerajaan Negeri Kelantan untuk membenarkan semula permainan Snuker dan Billiard

KENYATAAN MEDIA

8 Januari 2006

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong tindakan kerajaan Negeri Kelantan untuk membenarkan semula permainan Snuker dan Billiard beroperasi di negeri Kelantan. Keputusan ini dilihat sebagai langkah keterbukaan PAS khususnya di dalam aktiviti sukan dan rekreasi.

Sebelum ini pada 14 Ogos 2005 Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, YB Takiyuddin Bin Hassan, telah mengumumkan bahawa pusat permainan snuker dan billiard akan dibenarkan beroperasi di Kelantan mulai tahun 2006 selepas diisytiharkan sebagai kegiatan sukan dan rekreasi.

Hari ini seperti mana yang dilaporkan di dalam laman web Berita Nasional Malaysia (Bernama) Menteri Besar Kelantan YAB Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menarik balik larangan kegiatan sukan biliard dan snuker yang diharamkan sejak 1990 di negeri itu. Namun begitu,kebenaran itu dengan bersyarat terutama tiada unsur judi, permainan di tempat terbuka, berpakaian sopan, tidak bercampur antara lelaki dan perempuan dan tidak sehingga larut malam.

Difahamkan bahawa kebenaran ini akan berkuatkuasa dalam tempoh terdekat.

Kegiatan sukan ini diharamkan selepas PAS mula memerintah Kelantan pada tahun 1990 apabila mendapati berlakunya unsur perjudian dalam sukan itu. PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1990, dan sejak itu sebarang aktiviti berbentuk maksiat yang berada dalam bidangkuasa kerajaan negeri telah dibendung selaras dengan slogannya Membangun Bersama Islam. Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan telah diperkenalkan yang sekaligus mengharamkan semua aktiviti snuker, billiard dan karaoke.

Lebih menarik lagi, YAB Menteri Besar Kelantan di dalam kenyataannya menggalakkan kaum wanita digalakkan mencebur diri dalam sukan itu kerana kegiatan sukan berkenaan tidak sebegitu bahaya berbanding sukan lain terutama bola sepak.

Walau bagaimanapun, DPPNJ mengingatkan agar kerajaan Kelantan perlu lebih berhati-hati di dalam mengawal kewujudan semula premis-premis pusat permainan Snuker dan Billiard kerana dibimbangi dengan tidak membuat pemantauan dan kawalan, aktiviti perjudian berkemungkinan akan wujud kembali. Tindakan tegas mestilah diambil kepada premis-premis yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti mana yang disenaraikan.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: