04 January 2006

PEMANTAUAN SAMBUTAN TAHUN BARU: TAHNIAH KERANA POLIS BEKERJA KERAS

Date: Tuesday, January 03 @ 09:35:40 MYT
Topic: Main News
Oleh SALMAN HUSEIN

JOHOR BAHRU, 3 Jan (Hrkh) – Pemantauan yang dilakukan Pemuda PAS Johor di kesemua lapan daerah di negeri ini pada malam Tahun Baru 31 Disember lalu mengejutkan dan penuh dengan aksi sumbang anak Melayu.

Lapuran yang dibuat petugas PAS mendedahkan bagaimana acara sambutan tahun baru ini diadakan tanpa kawalan serta pemantauan yang rapi daripada pihak-pihak terbabit terutama Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kata Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman, dekat sini.

Bagaimana pun pada malam tersebut Polis kelihatan bertungkus lumus melakukan pemantauan dengan mengadakan sekatan jalanraya dan rondaan serta mengawal lalulintas bahkan kita dimaklumkan semua unit termasuk Cawangan Anti Narkotik, Perjudian dan Maksiat turut digerakkan bagi melakukan operasi secara besar-besaran bagi membanteras jenayah.

Malangnya jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Agama Islam dan PBT tidak kelihatan melakukan pemantauan pada malam tersebut, kealpaan pihak terbabit melakukan pemantauan menyebabkan berlakunya bermacam gejala social yang lebih serius lagi.

Mazlan berkata demikian semasa ditemui selepas mengiringi Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, membuat lapuran di Balai Polis Central, dekat sini, pada malam tahun baru beberapa hari lalu.

Lapuran polis ini dibuat susulan dari pemantauan yang dilakukan pemuda PAS Johor diketuai Mazlan dan Faizi di Danga Bay Johor Bahru, tempat yang menjadi tumpuan ramai di Bandaraya Johor Bahru terutama ketika menyambut hari perayaan tertentu.

Menurut Mazlan, pemantauan yang dibuat sehingga jam 3.00 pagi ini mendapati keadaan di Danga Bay sangat mengaibkan.

Ribuan anak muda bercampur gaul secara bebas dan melakukan aksi sumbang seperti berpelukan dan bercium di khalayak ramai tanpa segan silu selain minum arak secara terbuka.

"Melihat keadaan yang tidak terkawal ini maka kami telah mengambil keputusan untuk membuat lapuran polis meminta supaya polis melakukan tindakan yang sewajarnya bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku," kata Mazlan.

Menurutnya lagi, Polis yang menerima lapuran ini terus bertindak menghantar berpuluh-puluh anggota ke Danga Bay dan pemantauan semula yang mereka buat di tempat yang sama kira-kira sejam kemudian mendapati pengunjung mula beredar meninggalkan Danga Bay.

"Bagaimana pun kita tidak pasti sama ada kehadiran polis ini mampu menghindarkan anak-muda muda ini daripada terus melakukan perbuatan tidak bermoral memandangkan polis juga terpaksa menyelesaikan kes-kes lain yang dipertanggungjawabkan kepada mereka," kata Mazlan.

Selanjutnya menurut Mazlan, mereka amat kesal dengan sikap yang ditunjukkan jabatan-jabatan terbabit dalam menangani masalah sosial ini, mereka sepatutnya mengambil langkah lebih pro-aktif dalam usaha untuk membanteras gejala sosial yang semakin serius mutakhir ini.

Tetapi malangnya sikap acuh tak acuh yang mereka tunjukkan ini membuktikan bahawa mereka memang tidak serius untuk membanteras gejala sosial ini, katanya.
-zs

No comments: