07 January 2006

TAHNIAH KEPADA JABATAN NARKOTIK NEGERI JOHOR

KENYATAAN MEDIA
(6 Januari 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Narkotik Polis Johor (JNPJ) kerana telah menjalankan tugas dengan baik khususnya didalam menangani masalah dadah yang melanda rakyat Malaysia khususnya di kalangan remaja. Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Jabatan Narkotik Polis Johor mengadakan 532 serbuan di pusat hiburan seluruh negeri dengan mengarahkan 12,630 orang menjalani pemeriksaan air kencing sepanjang tahun 2005.

Ketua Jabatan Narkotik negeri, Asisten Komisioner Abdul Halim Zakaria, berkata daripada jumlah yang diperiksa, pihaknya mendapati 1,677 orang positif mengambil dadah. Beliau berkata, statistik menunjukkan penggunaan ketamine menjadi pilihan utama belia yang berusia antara 18 hingga 30 tahun. Ia dapat dilihat melalui rampasan ketamine pada sepanjang tahun lalu sebanyak 28 kilogram, menunjukkan peningkatan berbanding hanya 7.5 kilogram pada tahun sebelumnya.

Beberapa kejayaan lain juga dicapai sepanjang tahun 2005 iaitu;

i. mengesan 739 kes mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dengan 1,130 tangkapan,

ii. menahan 248 orang dan 39 pengusaha pusat hiburan untuk dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13C Akta Dadah Berbahaya 1952 Mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)

iii. menyita harta benda perolehan daripada menjual dadah RM3.1 juta.

Tidak dapat dinafikan bahawa gejala penagihan dadah di Malaysia semakin hari semakin meningkat. Ini disahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Haji Noh bin Haji Omar di dalam Laporan Parlimen ke Sebelas pada 7 April 2005 bahawa kedudukan bilangan penagih dadah yang dikesan dalam tempoh tiga tahun iaitu daripada tahun 2002 hingga 2004 menunjukkan berlaku peningkatan pada setiap tahun. Kumpulan penagih yang dikesan pada tahun 2003 ialah seramai 31,893 orang, ianya meningkat kepada 36,996 orang pada tahun 2003 iaitu bertambah seramai 5,103 orang ataupun 16%. Pada tahun 2004 pula jumlah penagih yang dikesan ialah seramai 38,672 orang, meningkat seramai 1,676 orang ataupun 4.53% berbanding tahun 2003. Jika dibandingkan perbezaan antara tahun 2002 hingga 2004 peningkatan ialah seramai 6,779 orang atau 21.3%.

Justeru DPPNJ mengharapkan agar usaha membenteras pengedaran dan penagihan dadah oleh JNPJ terutamanya di tempat-tempat hiburan ini dapat dipertingkatkan pada tahun 2006 dan tahun-tahun akan datang. DPPNJ juga dalam masa yang sama turut menyumbang ke arah membenteras najis dadah ini, sebagai bukti dengan mengedarkan risalah bertajuk “Dadah Haram Di Sisi Islam” sebanyak 20 ribu naskah pada malam sambutan Tahun baru di seluruh negeri Johor baru-baru ini.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: