13 January 2006

GURU SEMAKIN TERBEBAN, TUGAS PENGAWASAN PENGUNAAN TELEFON DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MERUMITKAN.

RENCANA
(13 Januari 2006)


Belum selesai masalah bebanan kerja yang berlebihan guru-guru di sekolah, kini para guru terpaksa menanggung kerja dan tugas tambahan iaitu mengawasi penggunaan telefon di kalangan pelajar. Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon telah membuat kenyataan bahawa para pelajar kini dibenar menggunakan telefon bimbit di sekolah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melihat bahawa keputusan Kementerian Pelajaran menarik kembali pengharaman penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar sekolah adalah amat mengejutkan dan harus dikaji semula. DPPNJ yakin bahawa lebih banyak kesan negatif daripada positif yang bakal menanti.

Sebelum ini membawa telefon bimbit ke sekolah merupakan satu kesalahan di bawah kod 914 Sistem Salah Laku Disiplin Pelajar (SSDM). Larangan tersebut mula dikuatkuasakan pada 13 Mei 1997 semasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan Malaysia.

Apabila penarikan semula pengharaman pengunaan telefon bimbit di sekolah, sudah pastinya ia akan mendatangkan igauan buruk kepada guru-guru. Sebelum pada 9 Januari 2006, DPPNJ telah membuat ulasan berkaitan dengan pendedahan bagaimana guru-guru di empat negeri, Selangor, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur didapati menanggung beban kerja berlebihan, iaitu 74 jam seminggu berbanding maksimum 48 jam yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Ini kerana tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain – pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan; kedua, urusan pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid.

Kini, guru-guru terus dibebankan dengan tugas baru : Mengawasi Pengunaan Telefon Bimbit. Apabila menyentuh tentang pengawasan, sudah tentu soal peraturan penggunaan, masa perbualan, tempat pengunaan yang dibenarkan terpaksa disediakan untuk mengelakkan pelajar menyalahgunakan kebenaran ini. Mungkin juga sekolah terpaksa memikirkan tempat-tempat khas yang perlu diwujudkan untuk mengelakkan pengunaan telefon diluar waktu yang dibenarkan dan untuk mengelakkan kecurian berlaku.

DPPNJ juga terkejut apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengarahkan semua Jabatan Pelajaran Negeri segera menyampaikan garis panduan tersebut ke sekolah-sekolah bagi membolehkannya dilaksanakan secepat mungkin. Datuk Dr. Ahamad juga menjelaskan, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.11/2005 bertarikh 23 Disember 2005 yang membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh murid sekolah tidak ditarik balik. Persoalannya, apakah yang perlu disegerakan sehingga seolah-olahnya penggunaan telefon bimbit menjadi keutamaan dalam pendidikan negara?.

Begitu juga dengan syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah, yang dikeluarkan oleh KPM. Sudah tentu garis panduan ini akan menambahkan tugas guru yang sepatutnya menumpukan kepada soal pengajaran di dalam kelas.

Dalam soal ini, DPPNJ melihat bahawa KPM tidak mengambil kira pandangan daripada pentadbir di peringkat sekolah yang akan berhadapan dengan perlaksanaan ini sebelum membenarkan penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar di sekolah. Tanyalah kepada mereka, tentunya mereka akan bersetuju dengan kenyataan bahawa terlalu banyak kesan negatif yang akan berlaku berbanding dengan kesan positifnya.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: