31 January 2006

30 TAHUN DITEMANI LILIN

Berita ini diambil daipada Berita Harian (Edisi Johor) pada 31 Januari 2006. Bayangkanlah bagaimana kehidupan pendudk Johor yang hidup di negeri yang berbangga kononnya antara ngeri yang termaju di Malaysia - Khairul Faizi

JOHOR BAHRU: Johor adalah antara negeri yang mempunyai kadar kemiskinan terendah, tetapi dalam era pemodenan ini, masih ada segelintir ahli masyarakat yang langsung tidak diendahkan untuk menerima arus perubahan.
Selama 30 tahun, sepasang warga emas terpaksa menetap di rumah bekas kuarters estet di Batu 19, Kangkar Pulai, di sini, dengan hanya bercahayakan lilin setiap malam dan menggunakan air perigi sebagai sumber air.
Sepanjang kehidupan mereka selepas berpindah ke sini dari Senggarang, Batu Pahat, mereka perlu bangun pagi mengangkut air dari perigi yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah untuk keperluan mereka sekeluarga.
Di rumah itu, Shaari Piee, 62, dan isteri, Zainab Mohamad, 61, membesarkan 10 anak mereka dengan bekerja mengambil upah di kebun orang lain atau melakukan pelbagai kerja kampung hingga semua anaknya dapat mencari kerja sendiri.
Kini, Zainab sudah tidak larat lagi untuk mengangkut air perigi dan beban tugas itu berpindah kepada anaknya yang akan memenuhkan kolah di rumah setiap pagi sebelum keluar bekerja kilang.Sejak dua bulan lalu, mereka mampu membeli jana kuasa untuk digunakan pada waktu malam, tetapi apabila mesin itu rosak, lilin dinyalakan.
Mereka sekeluarga menumpang teduh di rumah kuarters itu atas ihsan pemilik kebun berkenaan yang juga bekas majikan Zainab sepanjang tempoh berkenaan tanpa dikenakan bayaran.Beliau dan seorang anaknya yang bekerja kilang pernah membuat permohonan itu dan pernah dipanggil temu duga, tetapi hingga kini, tidak ada jawapan.
Malah, katanya, selepas ditemu duga, ada pegawai datang membuat tinjauan dan siasatan di rumahnya, tetapi mereka sekeluarga masih belum diberi surat tawaran membeli dan menduduki rumah awam."Saya berharap diberikan rumah awam yang tentunya lebih selesa untuk kami sekeluarga dengan bekalan air dan elektrik lebih sempurna," katanya.
Selain Shaari, 17 lagi penduduk Kampung Melayu Kangkar Pulai, di sini, berharap supaya permohonan mereka mendapatkan rumah awam kos rendah berkenaan diberikan pertimbangan oleh kerajaan negeri.
Penduduk, Masfar Darlan, 40, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, beliau tinggal di kampung itu sejak 1978 dan kini menumpang di rumah jiran bersama isteri yang tidak bekerja dan tujuh anak mereka.
Penduduk, Abdul Razak Bujang, 52, berkata mereka berharap kerajaan negeri memberi keutamaan kepada penduduk asal kampung berkenaan untuk mendapatkan rumah awam berkenaan.Apatah lagi, katanya, rumah fasa kedua itu adalah projek terakhir kerajaan negeri membina rumah kos rendah jenis teres di kawasan itu kerana pemaju membina rumah kos rendah jenis flat.

No comments: