09 January 2006

BEBANAN KERJA GURU BERPUNCA DARIPADA KELEMAHAN KEMENTERIAN PELAJARAN MENYELARASKAN TUGAS SEBENAR GURU.

KENYATAAN MEDIA

9 JANUARI 2006

Semalam muka hadapan Berita Harian telah mendedahkan bagaimana guru-guru di empat negeri, Selangor, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur didapati menanggung beban kerja berlebihan, iaitu 74 jam seminggu berbanding maksimum 48 jam yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Ini kerana tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain – pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan; kedua, urusan pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid.

Butir-butir ini terkandung dalam laporan kaji selidik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP bertajuk `Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ meliputi sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknik dan politeknik yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), baru-baru ini.

Mengikut laporan yang ditandatangani pada 1 Jun 2005 itu, kaji selidik itu adalah antara usaha NUTP memberi gambaran jelas kepada kementerian supaya sesuatu dapat dilakukan untuk meringankan beban guru.

Kaji selidik itu yang membahagikan beban tugas kepada lima bidang itu membuktikan guru turut bertindak sebagai kerani, setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip dan juruhias.

Pada 27 Februari 2005, selepas majlis penutup Program Jatidiri dan Kecemerlangan Akademik Pelajar Matrikulasi Sesi 2004/2005 Kolej Matrikulasi Perak Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran mendapati guru-guru kini terlalu dibebankan dengan tugas bukan mengajar sehingga menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Beliau tidak mahu guru-guru melakukan kerja bukan dalam bidang tanggungjawab mengajar seperti mengutip derma, kempen nyamuk aedes, menyelesaikan masalah longkang tersumbat dan sebagainya kerana ia cukup membebankan para guru. Beliau juga berjanji bahawa mulai tahun 2005 semua guru dipertanggungjawab untuk mengajar dan (urusan-urusan lain) selain itu perlu dilakukan oleh pihak pentadbiran sekolah.

DPPNJ melihat bahawa bebanan tugas berlebihan ini adalah berpunca daripada kecelaruan dan kelemahan di dalam pentadbiran dan penyelarasan di semua peringkat pentadbiran sekolah.

Jabatan Pelajaran Negeri tidak dapat mengatur masa kursus dengan tersusun sehingga menyebabkan terdapatnya ramai guru-guru di dalam sekolah yang sama terpaksa menghadiri kursus secara serentak di luar kawasan, di tambah lagi dengan keadaan guru yang bercuti dengan pelbagai sebab, justeru tugas yang ditinggalkan terpaksa dipikul oleh guru yang masih berada di sekolah.

Di sekolah pula, pengagihan tugas bergantung kepada kebijaksanaan Pengetu atau Guru Besar. Kebiasaannya Pengetua akan bergantung harap kepada guru yang ‘boleh di harap’ sahaja sedangkan guru ‘malas’ hanya melakukan tugas mengajar di kelas sahaja.

KPM perlu bertindak secara effisien untuk menyelaraskan semula tugas guru dengan mengambil kira daripada semua sudut. Paling penting, tugas utama guru untuk mengajar dan mendidik tidak terganggu disebabkan bebanan tugasan yang diluar bidang kuasa guru.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

019-7701830

http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: