04 January 2006

KERAJAAN JOHOR PENGGALAK KEPADA MAKSIAT DAN GEJALA SOSIAL DI KALANGAN RAKYAT KHUSUSNYA GOLONGA REMAJA.

KENYATAAN MEDIA
(3 Januari 2006)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kekesalan di atas sikap kerajaan negeri Johor yang tidak mengambil berat terhadap masalah gejala sosial yang kini sedang teruk melanda golongan remaja dan pelajar sekolahkhususnya di negeri Johor.

Kerajaan yang kononnya prihatin dengan masalah sosial sebenarnya adalah penggalak dngan tidak membuat apa-apa tindakan yang menunjukkan mereka serius untuk membenteras gejala ini.

Tidak cukupkah dengan perangkaan yang telah disebut oleh YB Zainal Abidin Osman (Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia) di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 8 Disember 2005 yang lalu bahawa gejala jenayah di kalangan pelajar dinegeri Johor semakin parah dan meningkat seperti;

i. Kes pergaduhan 17 pelajar (10 Melayu dan 7 Cina) yang berlaku di Tangkak pada 11 dan 12 Mei 2005,

ii. Seramai 8 orang pelajar SMK Senai terlibat dengan kongsi gelap dan pergaduhan pada 24 Jun 2006.

iii. Harian Metro Edisi Selatan pada 5 Julai 2005 telah mendedahkan isu yang berkaitan dengan kejadian rogol yang bertajuk “Habuan nafsu kekasih”. Berita ini yang disiarkan dengan maklumat yang diperolehi melalui Bahagian Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, yang menyatakan semakin ramai golongan remaja perempuan terutama gadis bawah umur tempatan didapati menjadi mangsa kerakusan nafsu mahupun terlanjur bersama kekasih. Mengikut maklumat ini, sejak awal tahun 2000, lebih 80 peratus kes rogol yang difailkan membabitkan remaja perempuan yang menjadi habuan seks teman lelaki sendiri dan lebih membimbangkan lagi, hampir 70 peratus atau majoriti daripada mangsa rogol berkenaan terdiri daripada remaja bawah umur iaitu 16 tahun ke bawah.

DPPNJ merujuk kepada sambutan Malam Tahun Baru 2006 yang mana DPPNJ telah mengadakan XPDC Dakwah di Danga Bay, Johor Bahru pada malam sambutan tersebut yang penuh dengan aksi sumbang yang sebahagian besarnya adalah dikalangan anak Melayu. Tindakan beribu-ribu anak-anak muda Melayu ini berpelukan, berkucupan, berciuman dan meneguk arak seolah-olahnya direstui oleh pemerintah dengan tidak dibuat apa-apa tindakan untuk menghalangnya.

Di mana perginya penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ)? Apakah kerana sambutan ini tidak dianjurkan oleh kerajaan maka tidak perlu dibuat penguatkuasaan? Inilah padahnya apabila kerajaan tidak prihatin dan tidak mengambil berat untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada terus hanyut di dalam kerosakan.

Sekiranya kerajaan prihatin dan bersungguh-sungguh untuk membenteras gejala sosial maka sudah tentu masalah kekurangan pegawai penguatkuasa yng dihadapi oleh kerajaan Johor akan diatasi dengan segera. Mingguan Malaysia (9 Oktober 2005) pernah mendedahkan bahawa kerajaan Negeri Johor sedang menghadapi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 di seluruh negeri. Ini disebabkan bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta. Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainal Abidin Osman.

Melihat perkembangan ini, DPPNJ tidak akan berdiam diri untuk membiarkan gejala mungkar ini terus berleluasa. Beberapa tindakan sedang dirangka untuk diambil selepas ini termasuklah meneruskan XPDC dakwah yang tidak terikat kepada musim-musim perayaan sahaja. Walaupun DPPNJ menyedari bahawa kekurangan tenaga dan sumber kewangan tetapi ia tidak akan menjadi penghalang kepada DPPNJ.


Sekian, wassalam.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: