Sumber: Al-Fikrah
PENDAHULUAN
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yang menciptakan alam ini tanpa sedikit kecacatan. Yang menjadikan manusia dengan penuh sifatnya. Maha Besar Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam semoga terlimpah pada Rasul mulia, junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya, dan para penerusnya yang mengikuti mereka sehingga kiamat.
Wahai sahabat-sahabatku se-Islam sekalian, takutlah akan Allah. Bertawakallah kepadaNya. Bersama-samalah kita saling ingat-mengingati ke arah kebenaran. Semoga tergolong di dalam golongan yang telah dijanjikan Allah kemualiaan di sisiNya. Insya Allah. Doa merupakan satu anugerah Allah yang telah dikurniakan kepada kita. Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang sahih berkisar mengenai doa ini. Bahkan Allah telah menyediakan pula waktu-waktu mustajab untuk kita berdoa. Namun kita mesti juga akur bahawa segala ibadat yang kita lakukan mestilah berlandaskan dalil yang kukuh dan bukannya akal semata-mata.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah saw itu tauladan (contoh ibadat) yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta dia banyak mengingati Allah." Surah Al-ahzab ayat 21
Allah juga telah berfirman: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu buat kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku atas kamu, dan telah Aku redhai Islam menjadi agamamu." Surah Al-Maidah ayat 3
Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan perintah kami(Allah dan RasulNya), maka amalan itu tertolak."
Hadis riwayat Muslim Imam Syafi'I juga pernah menegaskan dalam kitabnya Ar-Risalah dengan kata-kata beliau yang masyhur: "Sesiapa yang beristihsan (menyangka baik sesuatu amalannya yang direka), beerti dia telah membuat satu syariat dan sesiapa yang membuat syariat, maka ia sudah kafir."
Maka di sini terang mengatakan bahawa ibadat itu tidak boleh di ambil mudah. Hujah akal tidak menghalalkan sesuatu ibadat. Kerana asal sesuatu ibadat itu haram selagi tidak ada dalil yang mengharuskannya.
Doa Awal dan Akhir Tahun Insya Allah pada kali ini, kita akan membuat kesimpulan/ringkasan mengenai isu amalan awal muharam. Untuk memudahkan kita, Kami akan mengkhususkan kesimpulan kita ini berkisar mengenai amalan doa awal dan akhir tahun.
Berikut adalah doa yang dimaksudkan:
Awal tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".
Akhir tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku emohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".
Sekian. Wassalam
No comments:
Post a Comment