13 January 2006

PEMBUANGAN SISA TOKSIK SECARA HARAM ANCAM KESELAMATAN RAKYAT JOHOR

RENCANA
(13 Januari 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kebimbangan dengan kes pencemaran sisa toksik yang berlaku di Johor. DPPNJ juga kesal kerana perkara ini bukannya pertama kali berlaku. Secara tidak langsung, ia menunjukkan kelemahan agensi kerajaan dalam mengatasi masalah pembuangan toksik haram di negeri Johor.

Pada 9 Januari 2006 yang lalu, ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut ‘Idil Adha, negara digemparkan dengan berita bagaimana lebih 300 penduduk dari Kampung Sungai Gatom di Daerah Labis telah terpaksa berpindah kerana gas ammonia tersebar dari sebuah tapak pelupusan sisa toksik haram di kampung itu.

Gas ammonia itu dipercayai terhasil daripada penanaman sanga atau sisa aluminium oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan kebun berhampiran Sungai Gatom.

Lebih mendukacitakan lagi, Utusan Malaysia hari pada 12 Januari 2006 melaporkan bahawa sisa toksik yang ditemui ini adalah berasal daripada sebuah kilang di Melaka, sedangkan ia di bawah pengawasan Jabatan Alam Sekitar (JAS). JAS dikatakan mempunyai satu sistem dikenali sebagai Sistem Penjejakan Sisa Berjadual (E-Swiss) yang akan memastikan sisa-sisa itu tiba ke destinasi `terakhir' di loji pelupusannya di Kualiti Alam Sdn. Bhd. di Bukit Nenas, Negeri Sembilan.

Sebaliknya sistem pengawasan itu gagal berfungsi baik sehingga menyebabkan sisa-sisa itu dibuang sesuka hati oleh pihak kilang atau kontraktornya.

DPPNJ mengucapkan tahniah kepada tindakan pantas JAS dalam menghadapi masalah di Kampung Sungai Gatom ini sehingga berjaya menyelamatkan penduduk-penduduk kampong. Begitu juga dengan tindakan mengesan kilang-kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Bukit Rambai dekat yang sisa toksiknya disyaki menjadi punca sehingga menyebabkan pencemaran gas ammonia di tepi Kampung Sungai Gatom, Labis, Segamat.

Namun begitu, ia hanya dilihat sebagai langkah untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi pada ketika ini. Bagaimana pula tindakan JAS untuk membendung perkara yang sama akan berulang lagi.

Apa nak jadi dengan JAS?. Sebelum ini JAS dikritik hebat kerana gagal mengawal sisa-sisa toksik berbahaya yang didapati dibuang di merata-rata tempat di negara ini khususnya di negeri Johor.

Isu pembuangan sisa toksik secara besar-besaran yang didedahkan di Johor mendedahkan kelemahan JAS dengan penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, yang dipercayai dibawa masuk dari Taiwan, di Pelabuhan Pasir Gudang pada 2004.

JAS sepatutnya telah mengambil pengajaran di atas penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, di Pelabuhan Pasir Gudang. Peristiwa itu telah memalukan JAS sehingga masyarakat tertanya-tanya apakah pegawai-pegawai JAS mengambil tindakan sambil lewa sehingga tidak ternampak pun tong-tong sisa toksik di bawa ke dalam negara.

Justeru untuk mengembalikan keyakinan masyarakat kepada JAS serta menyelamatkan nyawa-nyawa rakyat Johor daripada terkorban disebabkan pencemaran sisa toksik, DPPNJ mengharapkan JAS ‘membuka mata’ untuk melakukan perubahan supaya tidak masalah yang sama tidak berulang lagi.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: