PENGKALAN CHEPA, 3 Mei (Hrkh) - Masyarakat seharusnya berasa bimbang terhadap angka penagih dadah yang melanda masyarakat di negara ini mencecah hingga 1 juta orang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Takiyuddin Hassan, berkata seramai 1 juta dari jumlah rakyat negara ini 26 juta orang telah menagih dadah merupakan suatu perkara yang cukup membimbangkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Herba, sempena mengisi Tabung Pemulihan Dadah, HIV dan Aids, di Taman Litar Padang Tembak, di sini semalam.
Program yang julung kali pernah diadakan itu anjuran Persatuan Sihat Dadah HIV/Aids dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Menurutnya lagi, sekiranya masyarakat tidak bekerjasama dengan semua pihak bagi menangani isu berkenaan, tidak mustahil jumlahnya akan bertambah dari hari ke hari.
“Apa yang penting kita jangan melihat tanggungjawab memerangi dadah ini bukan tugas kerajaan, Pemadam namun semua pihak bertanggungjawab sama ada ngo atau golongan individu,” ujarnya lagi.
Beliau seterusnya memberitahu, kerajaan Kelantan termasuk Pemadam Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha untuk menangani masaalah penagihan dadah termasuk HIV dan Aids.
Katanya lagi, bagi menangani masaalah berkenaan yang semakin melanda negara, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi menangani masaalah tersebut.
Takiyuddin seterusnya berkata, untuk mengelakkan berleluasanya gejala sosial, masyarakat khususnya golongan muda kembali pada ajaran agama Islam sebenar.
Tegasnya, hanya mengikut ajaran berpandukan agama suci masyarakat dapat menghindarkan diri mereka termasuk anak-anak dalam kancah yang tidak diingini.
“Masyarakat hendaklah menyedari pengedar dadah sentiasa mencari anggota baru bagi membolehkan mereka terjebak dengan dadah,” ujarnya.
Turut berucap pada majlis itu ialah Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Noraini Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif AK Group, Prof Dr Anantha Krishnan.
Sementara itu, sebagai simbolik terhadap bebasnya masyarakat dari cengkaman dadah, Takiyuddin melepaskan beberapa ekor burung merpati pada majlis berkenaan.
1 comment:
Sayang sekali ramai penagih adalah orang melayu beragama Islam. Pemimpin sibuk berpolitik mengatakan akulah paling alim, akulah paling Islamik, tetapi hakikatnya tiada guna jika anak bangsa sendiri hancur...
Post a Comment