26 May 2006

Dakwaan Muhyiddin serah tanah pada Singapura, Pemuda buat laporan polis

JOHOR BAHRU, 23 Mei (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah membuat laporan polis berhubung pendedahan seorang ahli Umno yang mendakwa bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah menyerahkan tanah seluas 5,177 hektar kepada Singapura.

Pendedahan berani ini dibuat bekas Setiausaha Kerja Umno Johor, Hamzah Othman, pada Majlis Dialog Kongres Kepentingan Bangsa (KKB), yang telah diadakan di Dewan Besar Kompleks Islam Johor Bahru, 7 Mei lalu.

Demikian dinyatakan Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, semasa ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Central, dekat sini, Isnin kelmarin, beliau turut ditemani Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, serta beberapa Exco DPPNJ.

Menurut Faizi, laporan polis ini dibuat susulan dari pendedahan oleh Hamzah yang disiarkan akhbar Siasah baru-baru ini yang menyebut, “5,177 hektar tanah telah diserah kepada Singapura”.

"Selaku bekas Setiausaha Kerja Umno Johor, sudah tentu maklumat yang diperolehi Hamzah ini adalah maklumat yang sangat sulit dan maklumat seperti ini biasanya hanya diketahui oleh pemimpin tertentu sahaja.

"Oleh kerana itu kita merasakan pendedahan beliau ini merupakan satu perkara besar yang perlu diberi perhatian khusus, apatah lagi apabila ianya membabitkan soal maruah dan juga kepentingan seluruh rakyat,"katanya.

Justeru kerana itu, beliau meminta polis menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa terbabit dengan penjualan tanah milik Kerajaan Johor kepada Singapura dengan harga RM370 juta semasa beliau menjadi Menteri Besar Johor.

"Selain itu kita juga meminta polis menyiasat kenapa tanah yang begitu luas diberikan kepada Singapura tidak diwartakan sehingga menimbulkan keraguan kepada rakyat lebih-lebih lagi kedudukan tanah ini begitu strategik dalam konteks peperangan kerana tanah ini berada pada ‘koordinat ‘0’ bagi Negeri
Johor,"jelasnya.

Menurut Faizi lagi, kawasan tanah terbabit yang terletak di Bandar Tenggara ini juga turut dikenali sebagai ‘ Hamparan Air Jernih’ telah diserahkan kepada Singapura untuk dijadikan empangan memproses air bersih yang kemudiannya disalurkan ke negara berkenaan.

Hamzah yang juga Pengerusi Guru-Guru Agama Islam Bersara Daerah Johor Bahru juga mendedahkan wang RM 370 juta ini telah diserahkan kepada Tabung Warisan Johor, bagaimana pun jumlah wang sebanyak itu dikatakan tidak memadai jika dibandingkan dengan nilai sebenar tanah ini sama ada untuk tujuan pembangunan atau pun pertahanan negeri ini.

Difahamkan terdapat tujuh gunung dan 66 bukit berada dalam kawasan tanah yang tergadai ini. - mks.

No comments: