04 May 2006

KES KEMATIAN PESERTA PLKN DI KLUANG

Nafi sebabkan kematian
Oleh Mohd Roji Abdullah


Kes pelatih PLKN bergaduh disebut semula 27 Julai

KLUANG: Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, terhadap tuduhan menyebabkan kematian rakan sepelatih, Haziq Jaafar, 17, di Kem PLKN Padang Hijau di sini, 21 April lalu.

Tertuduh juga berusia 17 tahun hanya menggeleng kepala sebagai isyarat mengaku tidak bersalah apabila jurubahasa mahkamah bertanya sama ada dia mengaku salah atau tidak terhadap tuduhan yang dibacakan kepadanya.

Berikutan itu, Majistret Abdul Malek Ayub menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan perubatan tertuduh.

Abdul Malek turut memerintahkan tertuduh yang berasal dari Kempas, Johor Bahru diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh dijamin oleh bapanya, Krishan Subramaniam dan dibawa keluar dari bangunan mahkamah oleh ibu bapa serta beberapa saudara maranya sebaik saja jaminan dijelaskan pada jam 1.15 petang semalam.

Dalam prosiding semalam, Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Nordin Ahmad memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Abdul Malek memerintahkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sehingga perbicaraan bermula.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menghadapi tuduhan menyebabkan kematian Haziq di Bilik Rehat Wira, Kem PLKN Padang Hijau, Kampung Gajah, Batu 13 di sini, kira-kira jam 10.45 malam, 21 April lalu.

Dia dituduh menyebabkan kematian Haziq dengan menendang bahagian kepala mangsa dengan mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Pelatih itu didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: