20 May 2006

KES RASUAH BEKAS ADUN MENGKIBOL (PARLIMEN KLUANG)

Kes rasuah bekas Adun 12, 13 Jun (Berita Harian, 20 Mei 2006)

BATU PAHAT: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menetapkan 12 dan 13 Jun ini untuk menyambung perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Ng Kim Lai.
Hakim, Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan perbicaraan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Bahrin Omar.
Semalam empat saksi pendakwa memberi keterangan.
Ketika perbicaraan pada 20 hingga 24 Mac lalu, 15 saksi pendakwa termasuk Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hoo Seong Chang, memberi keterangan.
Perbicaraan kes itu disambung semalam dan kelmarin.
Semalam, Kamal Bahrin memohon tarikh baru bagi membolehkan pendakwa memanggil beberapa lagi saksi.
Ng, yang juga seorang ahli perniagaan, didakwa membuat pengisytiharan palsu projek mengubah suai sebuah bangunan di Kluang pada Oktober 2002.
Beliau yang diwakili peguam bela, T Vijaya Sandran, dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat MCA, Nombor 24 dan 26, Tingkat 1, Jalan Dato Kapten Ahmad, Kluang.
Beliau yang dihadapkan ke mahkamah Oktober tahun lalu, mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, Ng didakwa dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya dengan mengemukakan dokumen palsu projek bernilai RM30,000 untuk mengubah suai Bangunan Persatuan Warga Tua Kaum Cina Daerah Kluang, di No 5, Jalan Mesra, Kluang.
Bagaimanapun, bangunan yang dimaksudkan itu sebenarnya tidak wujud dan Ng didakwa dengan sengaja cuba mengelirukan prinsipalnya.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16, akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: