19 May 2006

PENANGGUHAN PENSTRUKTURAN BARU TARIF ELETRIK UNTUK MENYELAMATKAN POLITIK BN DI SARAWAK

KENYATAAN MEDIA
(19 Mei 2006)

TAJUK :

PENANGGUHAN penstrukturan baru tarif eletrik UNTUK MENYELAMATKAN POLITIK BN DI SARAWAK


Pemuda Barisan Alternatif Negeri Johor (Pemuda BA Johor) melihat bahawa penangguhan penstrukturan baru tarif eletrik yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 17 Mei 2006 yang lalu hanyalah semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan politik Barisan Nasional (BN) di negeri Sarawak.

Jika dilihat daripada perkembangan kempen pilihanraya di Sarawak pada kali ini yang agak membimbangkan BN, pengumuman tarif elektrik yang baru sudah tentu akan memberi kesan yang besar kepada pengundi di Sarawak. Pengundi yang telah mula terbeban dengan kesan kenaikan harga minyak petrol/diesel sudah tentu tidak mampu untuk menanggung kesan tariff baru yang sudah semestinya tidak menguntungkan rakyat.

Politik murahan BN ini memang sudah dijangka kerana rakyat telah melihat kesan apabila memberikan mandat yang besar kepada BN yang mempunyai lebih 90 peratus kerusi di Parlimen pada pilihanraya Umum ke 11 yang lalu, kerajaan dengan mudah menaikkan tarif eletrik tanpa menghiraukan kesannya kepada rakyat.

Kenyataan yang dilakukan oleh Pak Lah bahawa penangguhan struktur baru tarif elektrik adalah untuk kebajikan rakyat dan untuk memastikan seramai mungkin golongan berpendapatan rendah tidak terjejas dengan tarif elektrik yang lebih tinggi tidak dapat diterima kerana tindakan yang sama tidak dilakukan ketika ingin menaikkan harga minyak. Kenapa kabinet tidak menangguhkan kenaikan harga minyak di atas alasan yang sama?.

Jika benar kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik bahawa antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya mereka yang menggunakan tenaga elektrik sebanyak 150kW/jam atau kurang dalam sebulan dikenakan bayaran sebanyak RM30 yang sekarang ini dengan kadar yang sama pengguna dikenakan sebanyak RM 32, mengapa perlu ditangguhkan?. Sudah tentu ada agenda tersembunyi disebalik penangguhan tersebut.

Kerana itulah, Pemuda BA Johor yakin bahawa penangguhan ini adalah sebagai penanguhan yang bersifat politik kerana bimbang pengumuman ini akan memberikan kesan yang buruk kepada BN yang kini sedang bertarung hebat dalam pilihanraya di Sarawak.

Selesai sahaja pilihanraya di Sarawak nanti, kabinet tidak akan menangguhkan lagi tarif baru eletrik negara. Ketika itu, pertimbangan untuk kebajikan rakyat akan dilupakan.


Sekian, wassalam.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi
Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor
(Ketua Dewan Pemuda PAS Johor)
Nurin Aina Binti Abdullah
Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor
(Ketua Angkatan Muda KeADILan Johor)

No comments: