24 May 2006

Mantan MB Johor terlantar sakit dilupakan kerajaan negeri

Tue May 23, 06 03:13:39 PM Oleh Salman Hussin
JOHOR BAHRU, 23 Mei (Hrkh) - Kerajaan Negeri Johor diminta memberi perhatian sewajarnya kepada bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Osman Saat, 83,yang kini terlantar sakit di rumahnya, dekat sini.

Dalam usia yang sudah agak lanjut ditambah pula dengan keadaan fizikalnya yang terlalu uzur beliau tidak mengharapkan sumbangan berbentuk kewangan ataupun sebarang penghargaan bagi mengenang jasa beliau tetapi memadai jika kebajikan beliau diberi perhatian khususnya rawatan perubatan beliau, kata Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, di sini.

Mazlan berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke rumah bekas MB Johor ini di rumahnya, dekat sini baru-baru ini, hadir sama Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil serta beberapa Exco pemuda PAS negeri.

Kami difahamkan sejak beliau jatuh sakit beberapa bulan lalu segala perbelanjaan perubatan beliau dibiayai melalui wang pencen beliau sendiri, oleh kerana itu kita merasakan amatlah wajar perhatian sewajarnya diberikan kepada Tan Sri Osman memandangkan beliau adalah bekas pemimpin nombor satu di negeri ini, setidak-tidaknya beliau telah menyumbang jasa dan bakti kepada rakyat dan negeri ini sepanjang 15 tahun menjadi MB (1967-1982),"jelas Mazlan.

"Selain itu PAS Johor juga merasa amat sedih mengenangkan nasib Tan Sri Osman yang terpaksa berhadapan situasi yang begitu getir ini tanpa mendapat perhatian mahupun sokongan moral daripada teman-teman seperjuangan yang pernah bersama-sama beliau sebelum ini.

"Bahkan kami difahamkan seorang anak didik politik beliau yang sekarang ini menjawat jawatan menteri di peringkat pusat pun tidak pernah menziarahi beliau sejak beliau jatuh sakit,"katanya.

Selanjutnya menurut Mazlan, sejak lima bulan lalu Tan Sri Osman telah menjalani berbagai rawatan untuk mengubati penyakitnya namun keadaanya masih tidak berubah malah sejak dua bulan kebelakangan ini beliau sudah tidak mampu untuk berdiri atau berjalan, beliau kini terlantar di atas katil sepanjang masa.

Mengimbau kembali zaman pemerintahannya, Tan Sri Osman yang pernah bersama Parti Melayu Semangat 46 (S-46) selepas Umno mengalami perpecahan hebat pada 1987, beliau merupakan MB yang berusaha menempatkan orang Melayu di bandar dan pinggir-pinggir bandar melalui pemberian tanah kurnia.

Justeru kerana itu jelas Mazlan lagi, sekiranya kerajaan boleh memberi layanan dan keistimewaan kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba, semasa hayatnya dulu mendapatkan rawatan perubatan maka apa salahnya perkara yang sama diberi kepada Tan Sri Osman.
"Tan Sri Osman yang seangkatan dengan Tun Ghafar juga tidak kurang jasanya kepada negeri dan negara maka tidak sewajarnya segala jasa beliau ini dilupakan begitu sahaja," ujarnya lagi. - mks.

No comments: