09 May 2006

Melayu Johor kesal dan makin terancam

Melayu Johor kesal dan makin terancam
Petikan daripada Malaysia Today.

Laporan Dialog Kongres Kepentingan Bangsa peringkat negeri Johor
Oleh Es Putra
Johor Bahru: Pemimpin politik, khasnya Umno, dewasa ini tidak boleh diharap, kurang keberanian, tidak bersemangat membela Melayu serta tidak sensitif kepada kepentingan bangsa Melayu.
Itulah di antara luahan dan juga gumpalan perasaan yang terhembur di sepanjang berlangsungnya Dialog Kongres Kepentingan Bangsa (KKB) peringkat negeri Johor.
Dialog itu berlangsung sehari suntuk di Dewan Besar Kompleks Islam pada 6 Mei lalu yang dirasmikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan dihadiri kira-kira 250 peserta.Perasaan itu tergumpal dari awal hingga akhir.
Ia mula hangat apabila Pengerusi Guru-Guru Islam Johor Bahru, Hamzah Othman, ketika memberi ucapan alu-aluannya yang panjang lebar, telah mendedahkan kepincangan demi kepincangan pemimpin Umno Johor dan juga nasib malang umat Melayu Johor.Ucapan yang disulami dengan sejarah perjuangan orang Melayu Johor sebelum Merdeka dan sehingga hari ini telah mengejutkan banyak peserta apabila beliau mendedahkan kepincangan projek-projek kerajaan dan juga sikap kerajaan Johor yang bermurah hati dengan Singapura secara berterus terang tanpa berlindung.
Menurutnya, yang juga bekas Setiausaha Kerja Umno Johor, di antara tindakan Umno Johor paling dikesali ialah menyerahkan beberapa kepentingan orang Melayu kepada pihak Singapura, memberikan peluang memiliki hartanah dan layani yang diterima oleh rakyat Johor tidak sama rata berbanding dengan rakyat Singapura di dalam soal kepentingan bersama.Katanya apa yang paling dikesalkan ialah penyerahan tanah seluas 5,177 ekar di Bandar Tenggara yang dikenali dengan “hamparan air jernih” kepada kerajaan Singapura untuk dijadikan empangan pemerosesan air bersih bagi dihantar ke negara berkenaan.Katanya tanah yang mempunyai lima buah gunung dan 66 buah bukit itu begitu strategik dan merupakan kawasan Melayu di mana ia di kelilingi oleh Felda, yakni penempatan baru orang-orang Melayu.
Kawasan itu kini dibina tembok setinggi 190 meter dari paras laut dan tidak ada sesiapa rakyat Malaysia yang dibenar dan boleh mengunjunginya lagi.“Hari ini kawasan itu sudah dikawal rapi oleh pasukan Singapura dan tanah itu seolah-olah menjadi sebagaian daripada wilayah mereka. Dan kita perlu sedar biasanya sesuatu yang terlepas ke tangan Singapura sukar untuk diambil kembali,” uajrnya.
Tambahnya lagi, hasil daripada pemberian tanah berkenaan, kerajaan Johor mendapat RM370 juta sahaja sebagai pampasan dan wang itu telah dimasukan ke dalam Tabung Warisan Johor. Jumlah sebanyak itu menurutnya bukan saja tidak ‘berbaloi’, tetapi pemberian itu juga menyebabkan kepentingan orang Melayu sudah lenyap kerana kawasan berkenaan penuh dengan sentimental sejarah.
Menurut Hamzah lagi, selain daripada tanah berkenaan, beberapa kepentingan lain juga turut sama terlepas ke tangan pihak Singapura, di antaranya ialah City Square -- pusat membeli belah di Johor Bahru telah pun menjadi milik syarikat korporat dari Singapura.
“Kita sungguh hairan macam mana kompleks itu yang dibina di atas tanah milik Perbandaran (Bandaraya Johor Bharu) boleh terlepas ke tangan pihak asing?”soal beliau.Dalam pada itu Hamzah meminta kerajaan agar mengawal keadaan itu dan memastikan beberapa kepentingan Melayu yang ada dijaga dan diawasi sebaik mungkin demi survial Melayu Johor di masa depan.
“Kita bimbang kalau ini tidak dilakukan lama kelamaan seluruh Johor ini akan menjadi milik orang lain,” katanya kesal.
Berhubung dengan isu pembatalan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang hebuh baru-baru ini, Hamzah menyifatkan apa yang berlaku kerana kelemahan dan juga kurang penelitian pihak kerajaan Malaysia semasa merancang untuk membinanya.
Disebabkan kita tidak membuat penyelidikan, tidak membaca sejarah serta mengkaji kesan dan implikasi undang-undang, menyebabkan kita mengalami kerugian kerana terpaksa menghentikan projek yang sudah dimulakan itu.
Di dalam hal ini, menurutnya, sepatutnya kerajaan Pusat sebelum membuat sesuatu perancangan hendaklah mengambil kira pandangan orang Johor terlebih dahulu, bukannya terus buat sahaja.Beliau lantas menyalahkan proses rundingan untuk membangunkan Johor Bahru dilakukan secara G2G (kerajaan dengan kerajaan), yang diamalkan selama ini adalah punca sesuatu projek di Johor Bahru memberi kesan buruk kepada sosiol ekonomi orang Melayu dan juga merugikan negara.
“Saya harap proses GTO ini difikir semula, dan apa-apa projek berhubung dengan pembangunan di Johor Bahru khususnya yang berkaitan dengan Singapura hendak dirunding dengan rakyat Johor terlebih dahulu,” ujarnya.
Hamzah yang kesal dengan tindakan Singapura yang mengenakan syarat untuk mendapat pasir dan ruang udara sebelum membenarkan pembinaan jambatan itu, berkata, Singapura menjadi berani disebabkan pemimpin hari ini sudah tidak wibawa.
“Pemimpin hari ini sudah tidak ada telor lagi”, ujarnya.
Hamzah juga melahirkan rasa kesal kepada Perana Menteri sebelum ini kerana gagal untuk melahirkan pemimpin yang berani dan bertanggungjawab kepada negara.
“Sikap Perdana Menteri sebelum ini (Mahathir Mohamad) tidak memepdulikan ini (menyiapkan pemimpin pelapis) serta membuang pemimpin yang berpotensi seperti Musa Hitam, menyebabkan orang Melayu kini menjadi lemah dan terpinggir,” katanya.
Sementara itu menurut pengulas kertas kertas kerja Dr Redhuan Othman, Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaya, apa-apa berhubung isu pembatalan jambatan kedua itu ialah disebabkan kelemahan mental pemimpin negara ini.
“Pemimpin kita tiak mempunyai kekuatan mental, untuk menghadapi isu-isu seperti itu berbanding dengan mental pemimpin Singapura, yang mempunyai mental yang kuat,” ujarnya.
Beliau juga meminta agar rakyat negara ini kembali kepada peristiwa lampau iaitu penyerahan pemisahan Singapura daripada Malaysia, kerana itulah masalah sebenarnya Malaysia dengan Singapura.
Dalam hal ini kata Redhuan, orang yang perlu bertanggungjawab mengenai apa saja yang berbangkit tentang Singapura ialah Tuanku Abdul Rahman, kerana beliaulah orang bertanggungjawab melepaskan Singapura daripada Persekutuan Malaysia.
Tengku Razaleigh Hamzah pula di dalam ucapannya berharap lebih banyak NGO atau kumpulan Melayu diwujudkan nntuk memperkuatkan kuasa dan juga meneruskan perjuangan Melayu di masa akan datang.

1 comment:

juja said...

Assalamualaikum...
Walaupun kami bukanlah warga Johor, tapi sebagi warga Malaysia, kami turut merasa terkilan mendengar apa yg telah berlaku. Kadang2 kami sendiri terlupa tentang hak2 istimewa melayu itu sendiri. Apa yg ingn dnyatakan disini, org kita sndr tdk mahu mengambil berat ttg kpntgn mrk sndr selagi tak kena atas btg hidung sndr. Bila terbaca ttg artikel ni, baru tersedar tu pun separuh sedar..tapi just sedar tp tk tau bgmn nak b'tndk. just look and see. paling tak pun,menulis dlm blogspot cmni. ni la org kite.

Sociable