08 May 2006

DPPNJ MENYOKONG TINDAKAN DATUK SHAHRIR MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PENGERUSI BBC

Kenyataan Media
(8 Mei 2006)

TAJUK :

DPPNJ MENYOKONG TINDAKAN DATUK SHAHRIR MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PENGERUSI BBC


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Johor Bahru iaitu Datuk Shahrir Samad kerana dengan penuh keinsafan telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kelab Ahli Penyokong Parlimen Barisan Nasional (BBC). Perletakkan jawatan ini merupakan satu sikap yang sangat terpuji, penuh dengan ketegasan serta memperlihatkan kejujuran sebagai seorang wakil rakyat.

DPPNJ melihat bahawa tindakan beliau sebenarnya bukan semata-mata untuk melahirkan rasa tidak puas hati atau kecewa dengan sebilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak menyokong usul Ketua Pembangkang, YB Lim Kit Siang di Dewan Rakyat tetapi sebagai satu teguran keras kepada semua Ahli Parlimen khususnya daripada BN supaya mereka sedar bahawa mereka adalah wakil rakyat. Setiap kepentingan rakyat mestilah diutamakan apabila sesuatu keputusan hendak diambil.

DPPNJ yakin bahawa Shahrir tidak berkompromi dalam menangani isu-isu yang melibatkan integriti, kepentingan negara dan rakyat sejagat. Diharapkan agar selepas daripada peristiwa ini pemimpin UMNO/BN akan lebih berani dalam menegakkan hak rakyat khususnya di Parlimen mereka walaupun ianya akan berlawanan dengan kehendak kerajaan.

DPPNJ mengharapkan agar Datuk Shahrir terus memperjuangkan hak rakyat di Parlimen selepas ini walaupun tidak mempunyai apa-apa jawatan.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: